Polis meminta semua pihak khususnya parti yang bertanding, supaya tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan keselamatan bagi mengelak suasana huru-hara sepanjang tempoh pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata, parti-parti terlibat perlu mengawal emosi penyokong masing- masing bagi mengelakkan ketegangan dan menjejaskan ketenteraman awam di Permatang Pauh."Kita minta penyokong-penyokong parti mengawal emosi bagi mengelakkan ketegangan dan menimbulkan suasana huru hara di Permatang Pauh
."Saya juga sudah melawat beberapa kawasan di Permatang Pauh untuk mendapatkan gambaran sebenar dan keadaan memang terkawal jadi pengundi tidak perlu bimbang soal keselamatan untuk keluar mengundi," katanya kepada pemberita selepas menyertai pertandingan menembak Piala Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas di sini, Rabu.
Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Seri Ahmad Said Hamdan.Mengenai kejadian seorang jurugambar Guang Ming Daily, Loh Hoay Hoon, 25, dipukul sekumpulan lelaki selepas ceramah pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lepas, Ayub menganggapnya sebagai kes terpencil.
"Kes itu tidak wajar dijadikan gambaran sebenar suasana pilihan raya kecil ini tapi semua pihak perlu mengawal emosi dan mematuhi peraturan," katanya.Ayub berkata polis juga sudah bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang kempen dan pilihan raya kecil Permatang Pauh bagi memastikan proses demokrasi berjalan lancar."Polis akan membuat penilaian dari masa ke semasa dan jika perlu meningkatkan kekuatan sedia ada dengan menambah keupayaan logistik dan keanggotaan," katanya.
Beliau berkata polis akan bermesyuarat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok bagi menentukan tahap keperluan termasuk mekanisme dan logistik untuk menghadapi pilihan raya itu."Pada masa ini, kita memang dalam suasana bersiap sedia dengan kekuatan lebih 4,000 anggota termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA)."Pada mesyuarat itu, juga kita akan memutuskan sama ada untuk mendapatkan bantuan dari negeri lain atau sebaliknya, selain mengkaji kelemahan pada pilihan raya umum lalu," katanya.