Saturday, August 16, 2008

Kereta timbalan menteri dikepung, nyaris terbalik

JITRA 16 Ogos - Kereta pacuan empat roda milik Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Johari Baharom nyaris terbalik setelah dikepung oleh sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kubang Semang, Permatang Pauh semalam.Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, beliau bersama tiga rakannya dalam perjalanan pulang ke Alor Star setelah meninjau kawasan peti undi yang ditugaskan kepada Barisan Nasional Kedah untuk dipantau.

Mohd. Johari memberitahu, sebaik sahaja tiba di hadapan simpang tiga berhampiran Masjid Kubang Semang berlaku kesesakan lalu lintas kerana terdapat ceramah politik dipercayai anjuran pihak pembangkang yang baru selesai.

"Kereta saya turut terperangkap di situ, namun malangnya sekumpulan pemuda menyedari saya berada di dalam kereta dan mereka terus mengepung kereta saya.

"Lebih 60 orang lelaki mengepung, melontarkan kata-kata kesat kepada kami sedangkan kami hanya melalui jalan itu untuk pulang ke Kedah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bukan setakat itu, kata Mohd. Johari, kereta pacuan empat roda itu nyaris terbalik setelah mereka bertindak menggoncangkan kereta berkenaan beramai-ramai.

"Saya risau dengan keselamatan diri kerana mereka bertindak liar seolah-olah dirasuk dan hanya melepaskan kereta saya setelah 15 minit.

"Mereka turut mengetuk cermin kereta saya berkali-kali serta menampal pelekat PKR di cermin hadapan kereta," katanya.

Jelas Mohd. Johari, perbuatan tidak bermoral itu tidak sepatutnya berlaku dalam menghadapi pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

"Cara kasar sebegini bukan budaya politik kita dan saya kesal melihat sikap anak-anak muda kita yang tidak dapat menilai apa yang baik dan buruk.

"Tidak mustahil apa yang terjadi kepada saya, boleh menimpa orang lain," tambah beliau.

Mohd. Johari memberitahu, satu laporan polis akan dibuat mengenai kejadian semalam dan beliau mahu pihak polis terus memantau keadaan sepanjang proses pilihan raya kecil itu diadakan.-Utusan