Tuesday, August 19, 2008

Penduduk Permatang Pauh Menanti Ketibaan 'Peh Moh'

Oleh Erma Idayu Mohd Yusof

BUKIT MERTAJAM, 18 Ogos (Bernama) -- "Peh Moh", dalam bahasa Hokkien bermaksud "si rambut putih", amat dinantikan oleh penduduk pekan Permatang Pauh setelah banyak mendengar mengenai anggota Dewan Undangan (Adun) Seberang Jaya daripada rakan-rakan mereka.

Peniaga Kim Heng Theik, 53, berkata: "Saya kenal (Datuk) Arif Shah (Omar Shah) melalui rakan-rakan di Seberang Jaya. Depa dok cerita yang YB tu bagus. Kalau ada masalah, depa pi cari dia la."

Sementara Tan Liang Sim, 29, seorang kakitangan kerajaan, berharap dengan pencalonan Arif Shah sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Permatang Pauh 26 Ogos ini memberi peluang kepada penduduk di situ membuat pilihan bagi mengubah nasib mereka.

"Tengok Seberang Jaya bawah pimpinan Arif Shah semakin membangun. Takkan kita masih nak dok di takok lama lagi," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Arif Shah, 51, Adun Seberang Jaya sejak pilihan raya umum 2004 merupakan seorang wakil rakyat yang "mesra orang ramai" tanpa mengira kaum, serta kemampuannya bertutur dalam bahasa Mandarin dan Hokkien telah merapatkan lagi hubungannya dengan masyakarat Cina di sini.

Arif disenangi rakyat kerana sifat rendah diri dan mudah bergaul dengan penduduk setempat serta sering meluangkan masa bersarapan di Medan Selera Seberang Jaya tidak jauh dari rumahnya untuk mendengar keluhan orang ramai.

Bagi Kim yang telah berniaga sejak 20 tahun di pekan Permatang Pauh turut mengeluh mengenai pekan itu yang tidak berubah sejak dulu walaupun semasa calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, merupakan wakil rakyat Permatang Pauh dan menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Anwar merupakan wakil rakyat Permatang Jauh sejak 1982 sehingga 1999 apabila beliau dipenjara kerana penyalahgunaan kuasa, dan setahun kemudian kerana liwat.

Kerusi Parlimen itu telah dimenangi oleh isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada pilihan raya umum 1999 hingga beliau meletakkan jawatannya pada 31 Julai lepas bagi member laluan kepada Anwar untuk bertanding merebut kembali kerusi tersebut.

Kim berkata: "Apa yang saya nampak hanya traffic light ja kat sini. Pekan Permatang Pauh ni masih jugak macam dulu. Kita kalau boleh nak satu pembaharuan kat sini, biarlah sama macam jiran-jiran lain."

Bekas penduduk bandaraya Kuala Lumpur Toh Eng Thim, 47, yang baru kembali ke pekan itu sejak lima tahun lepas untuk mengambil alih perniagaan kedai runcit bapanya, berkata faktor ekonomi sangat penting untuk meraih undi pengundi Cina di situ.

"Sejak harga minyak naik, perniagaan merosot teruk kerana penduduk di sini hanya orang kampung yang berpendapatan tidak seberapa. Saya rasa kerajaan patut turunkan harga minyak, itulah faktor utama untuk tarik undi kita.

"Kalau Anwar boleh janji dan bagi formula untuk turunkan harga minyak, kenapa pula BN tak boleh buat benda yang sama. Kan ekonomi itu penting untuk kita di sini.

"Bila harga minyak naik, barang-barang lain juga naik. Perniagaan menurun sejak harga barang naik," katanya.

Menyentuh mengenai Arif Shah, beliau berkata: "Dia antara YB yang memang buat kerja. Kita d sini pun kenal dia, dia juga peramah."

Sementara itu, kerani Lim Swan Mui, 32, pula berkata apa yang dia mahukan ialah pembangunan ekonomi penduduk di sini perlu dijaga.

"Kalau tengok pada debat Anwar (dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek) baru-baru ini, tidak mustahil beliau (Anwar) boleh bangunkan ekonomi penduduk di sini," katanya.

Bagi L. P Khoo pula katanya Anwar setakat ini hanya membuat janji tetapi daripada segi realitinya, adakah beliau mampu melaksanakannya, terutama beliau hanya bakal menjadi seorang wakil rakyat jika menang.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan diadakan 26 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Arif Shah, Anwar dan Presiden Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

Seramai 58,449 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 65.5 peratus Melayu, 24.7 peratus Cina, 6.3 peratus India dan selebihnya kaum lain yang layak mengundi pada pilihan raya kecil ini.