PERTUDUHAN telah dibuat dan Anwar kini telah diikat jamin. Adakah proses itu masih diragui? Mahkamah bertindak seadilnya mungkin dan mengambil kira bahawa kedudukan Anwar dalam struktur masyarakat. Anwar tidak ditahan reman dan diberi peluang ikat jamin.
Penyokong Anwar tidak perlu untuk turun menjerit-jerit reformasi kerana Anwar tidak diperlakukan dengan kejam malah wujud tanda-tanda Anwar diberi juga keutamaan dalam isu ini. Kita semua rakyat Malaysia mahukan keadilan. Polis bertindak menurut bukti yang ada dan membawa perkara ini ke mahkamah. Tidak ada konspirasi. Yang ada hanya Saiful Bukhari menuduh Anwar Ibrahim meliwatnya dan Anwar menafikan perkara ini.
Kenapa perlu kita politikkan isu jenayah ini. Kerajaan tidak akan mengambil ini sebagai isu politik. Sekiranya mahu ada konspirasi bukankan lebih baik kerajaan Barisan Nasional membentuk atau mereka cerita baru dari cerita lama yang semestinya menimbulkan krisis dalam masyarakat kita hari ini.
Rakyat Malaysia perlu mengambil isu ini secara terbuka. Kita saksikan perjalanan mahkamah dan kita lihat bukti-bukti yang dikemukakan oleh polis hasil siasatan mereka. Kita juga mahukan kebenaran dan mahkamah yang ada hari ini adalah mahkamah yang membebaskan Anwar dari tuduhan liwat sebelum ini. Adakah ini juga Anwar ragu?
Sebenarnya kita tidak perlu membuat spekulasi dan tuduhan rambang seperti yang dibuat oleh Anwar Ibrahim terhadap Pak Lah. Ini tugas polis dan Pak Lah turut menasihati polis, sekiranya tidak ada kes maka tuduhan Anwar Ibrahim perlu digugurkan. Ini nasihat Perdana Menteri
Malaysia. Kenapa ini tidak boleh diterima oleh penyokong Anwar Ibrahim?
Anwar Ibrahim malangnya mengambil kesempatan tuduhan yang dibuat oleh polis ini ke kancah politik. Mengetahui sahaja polis akan menghantar notis kehadiran ke mahkamah, Anwar Ibrahim bangkit menuduh Pak Lah dan kerajaannya mengadakan konspirasi. Anwar Ibrahim licik dalam memanipulasi isu sedangkan Pak Lah dan kerajaan tidak mengambil langkah selain menunggu polis untuk mengemukakan hasil siasatan.
Manipulasi ini bergerak ganas lagi beberapa hari sebelum Anwar Ibrahim di panggil ke mahkamah dengan kononnya Anwar Ibrahim sudah ditangkap. Ini adalah tindakan mengeruhkan persepsi masyarakat terhadap polis dan kerajaan. Tindakan seperti ini sepatutnya tidak wujud sekiranya benar kita mahukan keadilan dan kebenaran. Kenapa tidak tunggu sahaja
bukti-bukti yang akan dikemukakan oleh polis di mahkamah. Kenapa tidak tunggu perbicaraan untuk mengetahui kebenaran.
Penyokong Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat harus sedar bahawa kepentingan kita menjaga keharmonian negara. Kucar-kacir akan hanya memberi musibah kepada negara kita ini adalah tindakan untuk sama-sama memberi tumpuan kepada perjalanan mahkamah adalah lebih baik dari mengadili isu ini di jalan raya.