Wednesday, August 13, 2008

PKR gadai maruah Melayu

Cadangan agar Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuka pengambilan pelajarnya dikalangan bukan bumiputera dan pelajar asing disifatkan sebagai satu lagi cubaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menggadaikan keistimewaan yang telah diberikan kepada kaum Melayu dan bumiputera.

Ketua Penerangan UMNO, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata, cadangan yang dikemukakan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu juga menunjukkan pemimpin parti pembangkang tidak sensitif dan tidak menghormati apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.

Menurutnya, tindakan itu membuktikan pemimpin terlibat telah memungkiri janji yang dibuat sebelum ini iaitu untuk memperjuangkan nasib dan membantu orang Melayu.

"Inilah (orang) yang dikatakan mahu membantu orang Melayu, mahu memperjuangkan orang Melayu... kalau boleh mahu bahagi-bahagikan semua yang ada.


"PKR sebenarnya bukan parti Melayu tetapi parti berbilang kaum. Pemimpinnya tidak ada hak memperjuangkan orang Melayu.

"Sebab itulah dia membuat cadangan ini dan berita ini pasti akan menggembirakan orang Melayu yang telah mengundi mereka... terimalah hadiah ini," kata beliau secara sinis kepada pemberita sebelum menutup Fiesta Insan Istimewa 2008 di sini petang ini.Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Khalid yang mencadangkan sepuluh peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di UiTM dibuka kepada pelajar bukan bumiputera dan penuntut asing.

Khalid syor UiTM ambil 10% bukan bumiputera

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa kuota pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing. Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UiTM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan bumiputera yang berdaya saing.'UiTM perlu bersikap global dalam usaha untuk menentukan siswazahnya lebih mesra dan serasi dengan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa agar dapat bersaing secara sihat," kata beliau kepada pemberita selepas menyertai 'Fun Walk' anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Adidas di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr. Halimah Ali dalam sebuah akhbar hari ini yang berpendapat UiTM perlu 'dibuka' kepada kaum lain jika ingin mewujudkan persaingan yang sihat.

Bagaimanapun, kata Abdul Khalid, cadangan yang dilontarkan ini perlu difikirkan sedalam-dalamnya daripada semua aspek agar tidak bercanggah dengan dasar penubuhan IPT itu dalam melahirkan generasi bumiputera yang berilmu dan berdaya saing.