Sunday, August 17, 2008

Permatang Pauh: Gempar lelaki meluru masuk pejabat UMNO bahagian

Orang ramai terutama petugas jentera pilihan raya sekitar pejabat UMNO Bahagian Permatang Pauh di Jalan Kubang Semang gempar dan cemas berikutan kejadian seorang lelaki Cina yang tiba-tiba meluru masuk ke pejabat UMNO itu kira-kira jam 9.45 Ahad malam.


Pada mulanya, beratus-ratus petugas yang sibuk menyiapkan poster dan bendera UMNO serta Barisan Nasional menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku menyebabkan beberapa orang daripada mereka terus menahan lelaki berusia lingkungan 40 tahun.

Setelah disoal, rupa-rupanya lelaki itu cuba menyelamatkan diri kerana khuatir keselamatannya selepas kenderaannya bertembung sebuah motosikal ditunggang seorang remaja belasan tahun.

Remaja itu cedera parah dan dikejarkan ke hospital, kata petugas Unit Kenderaan parlimen Permatang Pauh, Hamidi Salleh kepada Agendadaily.

Menurutnya, selepas merempuh motosikal remaja itu dalam kejadian kira-kira 50 meter daripada pejabat UMNO itu,, kenderaan dipandu lelaki terbabit terbabas dan merempuh sebuah motosikal lain.

“Pemandu itu kemudian mengundurkan kenderaannya jenis Proton Wira. Ketika itu keretanya langgar sebuah Mercedes di belakangnya,’ ujar Hamidi.

Difahamkan kenderaan itu dipandu oleh bekas Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Berhad,Nordin Mahmud.

Hamidi berkata, tujuh kenderaan termasuk milik FRU dan dua motosikal terbabit kemalangan tersebut.

“Kami semua terperanjat juga bila lelaki itu meluru masuk. Nasib baik beberapa petugas segera menahannya dan kemudian menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Katanya, hanya remaja yang menungang motosikal itu sahaja yang cedera walaupun banyak kenderaan terbabit kemalangan tersebut.


Dipetik dari www.agendadaily.com