Wednesday, August 6, 2008

Bila gendang di palu.....

Permatang Pauh di Seberang Perai Tengah merupakan kawasan Parlimen yang amat menarik di Pulau Pinang kerana wakil rakyatnya beberapa kali bertukar sejak pilihan raya umum 1969.
Kerusi itu menjadi milik parti Perikatan pada pilihan raya umum 1969 setelah calonnya Mohd Nor Bakar menewaskan wakil PAS Musa Mohd Yatim, dan pada 1974, Ariffin Md Daud, calon Barisan Nasional (yang menggantikan Perikatan), menewaskan Abu Bakar Murni dari Pekemas dan Baharuddin Ibrahim dari Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM).


Pada pilihan raya umum 1978, calon PAS Zabidi Ali menewaskan Ariffin untuk mengambil alih kerusi itu, dan pada pilihan raya umum 1982, calon BN Datuk Seri Anwar Ibrahim merampas kembali kerusi itu daripada Zabidi dalam pertandingan yang turutu melibatkan Tan Ah Huat dari DAP.


Pada pilihan raya umum 1999, Anwar yang disingkirkan daripada Umno dan dikenakan hukuman penjara kerana tuduhan liwat dan rasuah tidak dibenarkan bertanding, dan kerusi itu dimenangi oleh isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menerusi parti baru, Parti Keadilan Nasional, yang kemudiannya menukar nama pada Ogos 2003 kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia.


Wan Azizah, yang mempertahankan kerusi itu untuk tiga penggal, akhirnya melepaskan kerusi itu pada 31 Julai lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding semula di situ.
Bagi penduduk Permatang Pauh, penat pilihan raya umum 2008 pada 8 Mac lepas belumpun reda, dan kini mereka berhadapan kembali dengan tanggungjawab untuk membuat pilihan sekali lagi.


Permatang Pauh yang merupakan satu daripada 13 kersui Parlimen di Pulau Pinang, memang 'panas' sejak kawasan itu diambil alih oleh PKR daripada BN pada 1999.

Majoriti pengundi kawasan ini terdiri daripada orang Melayu yang merupakan 68.5 peratus atau 40,039 daripada 58,449 pengundi kawasan itu, diikuti oleh kaum Cina seramai 14,489 orang atau 24.79 peratus dan India 3,581 orang (6.3 peratus) serta lain-lain 240 orang (0.41 peratus).

Kerusi Parlimen Permatang pauh meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Kerusi DUN Seberang Jaya, yang diwakili oleh Datuk Arif Shah Omar Shah daripada BN, mempunyai 22,678 pengundi iaitu Melayu 14,163 orang (62.36 peratus), Cina 5,436 (23.97 peratus), India 2,978 (13.13 peratus) dan lain-lain 122 (0.54 peratus).

Kerusi DUN Permatang Pasir yang diwakili Hamdan Abd Rahman dari PAS mempunyai 20,350 pengundi iaitu Melayu 14,715 orang (72.31 peratus), Cina 5,278 (25.94 peratus), India 328 (1.61 peratus) dan lain-lain 29 (0.14 peratus).

Kerusi DUN Penanti, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR mempunyai 15,421 pengundi iaitu Melayu 11,181 orang (72.51 peratus), Cina 3,776 (24.49 peratus), India 375 (2.43 peratus) dan lain-lain 89 (0.57 peratus).
Pada pilihan raya umum lepas Wan Azizah mengalahkan calon BN Datuk Pirdaus Ismail dalam pertandingan satu lawan satu dengan majoriti 13,388 undi. ~Malaysiakini