Thursday, August 7, 2008

Hotel Di Sekitar Permatang Pauh Sudah Habis Ditempah Sementara Sewa

BUKIT MERTAJAM, 7 Ogos -Menjelang hari penamaan calon dan mengundi bagi pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh, bilik-bilik hotel terutama di sekitar Seberang Jaya didapati sudah habis ditempah.

Hari penamaan calon telah ditetapkan pada 16 Ogos sementara hari pengundian pada 26 Ogos.

Pengurus Komunikasi Hotel Sunway, Seberang Jaya, Nurhidayah Yoon Abdullah berkata kesemua 200 bilik hotel itu telah ditempah bermula 12 hingga 26 Ogos ini.

"Kesemua bilik ditempah oleh parti politik dan orang perseorangan yang kebanyakannya terlibat dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh.

"Kami menerima tempahan sejak pengumuman tarikh pilihan raya kecil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengosongkan kerusi kawasan tersebut untuk membeli laluan kepada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga suami beliau untuk
bertanding.

Bilik-bilik di Hotel Pearl View dan Safira Golf Club juga didapati telah penuh ditempah.

Malahan kebanyakan harga rumah untuk disewa sementara di sekitar Permatang Pauh, Bukit Mertajam dan beberapa kawasan berhampiran juga naik mendadak.

Seorang pemilik rumah sewa yang hanya ingin dikenali sebagai Harun, berkata permintaan untuk rumah sewa ketika ini sangat tinggi berbanding penawaran yang tidak mencukupi.

"Bila ada permintaan yang banyak dan penawaran yang kurang, harga memang akan meningkat sedikit, lagipun keadaan seperti ini jarang-jarang sekali berlaku.

"Ini adalah rezeki untuk kami pengusaha rumah sewa dan juga penduduk kampung yang membuat perniagaan kecil-kecilan," katanya sambil tersenyum.