''Biasanya kita tak umum awal-awal, kita umum dekat penamaan calon," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO Bahagian Permatang Pauh, semua ketua cawangan serta ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri dalam bahagian tersebut di sini hari ini.
Hadir sama ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad.
Ditanya sama ada tindakan BN mengumumkan nama calon pada saat-saat akhir akan menjejaskan persiapan pilihan raya kecil itu, beliau menafikannya.
Mengenai UMNO Bahagian Permatang Pauh yang mencadangkan ketuanya, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid sebagai calon untuk pilihan raya kecil itu, Najib memberitahu, perkara tersebut tidak dibincangkan.
''Kita tidak bincang. Itu keputusan Presiden parti," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, adalah penting bagi UMNO Bahagian Permatang Pauh untuk menggerakkan jentera parti sepenuhnya bagi meraih sokongan daripada pelbagai pihak.
Jentera tersebut, katanya, perlu dipastikan supaya bekerja dengan lebih kuat pada tahap maksimum.
''Amat penting sekali untuk kita menggerakkan jentera parti sepenuhnya sebab melalui jentera, kita sudah mempunyai kekuatan sedia ada dan kekuatan ini mestilah maksimum.
''Kita harus pastikan mereka (jentera) bekerja, pastikan mereka dapat meraih sokongan daripada orang lain dan pastikan mereka sedia setia kepada Barisan Nasional (BN). Itu yang jadi cabaran kita sebelum ini,"
katanya.
Menjawab soalan mengenai tanggapan sesetengah pihak bahawa BN sebagai underdog , Najib berkata, beliau lebih suka BN jadi underdog dalam pilihan raya kecil ini.
Terdahulu, Najib meminta UMNO Bahagian Permatang Pauh menghentikan segala masalah dalaman dan memberikan tumpuan kepada pilihan raya kecil itu.
Menurutnya, soal pemilihan dalam bahagian tidak harus difikirkan sehingga pilihan raya kecil itu selesai.
''Pada masa sekarang, hentikan segala permasalahan dalaman, Jangan fikir soal pemilihan dalam bahagian, mereka mesti memikirkan pilihan raya kecil Permatang Pauh sahaja dalam masa terdekat ini," katanya.