Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (gambar) berkata, Anwar sendiri telah mengaku tidak mempunyai wang yang cukup untuk berkempen namun masih mampu melakukannya.
‘‘Dia sendiri telah berkata bahawa dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk kempen, malah sanggup meminta bantuan penyokongnya melalui laman web untuk mendapatkan wang.
‘‘Namun, saya hairan bagaimana dia boleh meletakkan bendera dan poster partinya dengan banyak di sini. Oleh itu saya yakin bahawa dia mendapat bantuan AS,’’ katanya.
Khairy berkata demikian ketika memberi ceramah di hadapan kira-kira 3,000 penduduk di Permatang Pasir, di sini semalam.
Menurut Khairy sebagai balasan kepada bantuan yang diterima Anwar itu, perkara pertama yang akan dilakukannya jika berjaya menjadi Perdana Menteri ialah menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-AS.
‘‘Saya tahu ini adalah perkara pertama yang akan dilakukannya yang akan menyebabkan rakyat negara ini sendiri rugi,’’ jelasnya.
Tambahnya, dia juga mempunyai maklumat yang Anwar telah berjanji dengan kerajaan AS bahawa satu pangkalan tentera laut akan dibina di Sabah jika hajatnya menjadi Perdana Menteri tercapai.
‘‘Saya sendiri tahu Anwar akan meluluskan pembinaan pangkalan tersebut jika beliau berjaya menunaikan cita-citanya.-Utusan