Wednesday, August 6, 2008

Biar Makahmah hakimi kes ini

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar menafikan tindakan mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah telah dirancang seperti yang didakwa oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Beliau berkata perkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan dan bukan merupakan helah kerajaan untuk menghalang Anwar daripada bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

"Kita sendiri pun tidak ambil tahu beliau bertanding atau tidak. Sapina itu dikeluarkan bukan sebab mahu menghalang beliau daripada bertanding," katanya, dan menambah tindakan itu diambil berikutan siasatan ke atas laporan polis yang dibuat oleh bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan telah selesai.

"Beliau (Anwar) juga tidak sepatutnya khuatir sekiranya beliau betul-betul tidak bersalah dan tentunya beliau juga akan dibela oleh peguam-peguam yang hebat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Tilawah Al-Quran Polis Diraja Malaysia (PDRM) peringkat kebangsaan di Maktab PDRM di sini, Rabu.

Beliau berkata kes tersebut sudah sampai ke peringkat mahkamah, dan semua pihak perlu menghormatinya dengan tidak membuat sebarang perbincangan ataupun spekulasi mengenainya, yang hanya akan menimbulkan prejudis terhadap kes itu.

"Janganlah ada cakap-cakap belakang lagi dan biarkan mahkamah yang menentukan keputusannya, semua keputusan bergantung kepada undang-undang," katanya.Menyentuh mengenai keadaan keselamatan apabila Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta esok,

Syed Hamid berkata polis sudah bersiap-sedia dengan segala kemungkinan termasuk juga anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU), sekiranya ada pihak yang berkumpul dan mengganggu ketenteraman awam.

"Demi keselamatan dan keamanan orang awam, kita minta kepada semua pihak agar jangan berkumpul. Ini adalah kes mahkamah justeru ia tidak sepatutnya ada perhimpunan," katanya.