Ketika saya duduk minum di sebuah warung, di sebuah kampong dalam kawasan Permatang Pauh (saya tidak mahu menyebutkan nama kampungnya) baru-baru ini, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 60 tahun menyapa saya.
“Anak orang luar?”
“Ya,” jawab saya.
“Datang ke mari kerana apa,” tanyanya yang saya panggil Tuan Haji.
“Saja, nak tengok suasana Permatang Pauh selepas pengumuman Datuk Seri Dr. Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen,” jawab saya, ikhlas.
“Dah jumpa siapa di sini. Dah dapat cerita apa di sini,” tanyanya sambil mengangkat gelas berisi kopi O ke meja tempat saya minum.
“Belum jumpa sesiapa dan belum dapat apa-apa cerita,” jawab saya seikhlasnya.
Sambil menyedut rokoknya yang sudah dihidupkan api, Tuan Haji ini membuka bicaranya secara perlahan-lahan tetapi jelas, sebutannya. Dia menampakkan wajahnya cukup keliru dengan suasana sekarang.
Menurutnya, ketika Anwar didatangkan sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Umum tahun 1982, semua orang nampak, anak muda ini memang patut diberikan sokongan dan undi. Anwar diperlihatkan sebagai seorang yang cukup baik dan wajar diberikan peluang.
“Sehinggalah pilihan raya berikutnya, 1986, 1990 dan 1995. Tidak ada cerita kurang menarik mengenainya kecuali kami di sini melihat kelincahannya bermain politik dan meningkat naik dalam Umno.
“Kami tumpang berbangga walaupun kami tidak nampak apa-apa pembangunan luar biasa yang dia bawa ke sini seperti yang anak tengok sendiri. Permatang Pauh bukan Kepala Batas, kawasan yang diwakili Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi), Balik Pulau dan Tasik Gelugor yang jauh lebih ‘membangun’ dari Permatang Pauh,” ujarnya lanjut.
Saya mendengar dengan tekun dan sabar. Tuan Haji terlalu berhati-hati bercakap dan dia nampaknya mahu meluahkan perasaannya. Kebetulan saya tengok dia tidak mengesyaki saya ini orang PKR atau orang Umno atau orang Pas. Dia mungkin beranggapan saya anggota polis cawangan khas atau, saya pensyarah universiti yang mahu membuat tinjauan di situ.
Kebetulan, Tuan Haji tidak menanyakan saya dari jabatan mana dan saya datang mewakili siapa. Maka, saya tidak berhajat untuk memberitahu siapa saya sebenarnya, kecuali jika dia bertanya.
Apabila kesnya (Anwar) timbul, dia kemudiannya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Timbalan Presiden Umno dan semua jawatan-jawatannya yang lain, kami waktu itu terkejut yang amat sangat. Kami cukup marah dengan PM ketika itu, Datuk Seri D. Mahathir (kini Tun) yang kami anggap, terlalu zalim melakukan sesuatu kepada Anwar, yang berkedudukan cukup tinggi ketika itu.
“Saya tidak terus menyertai puak-puak yang memaki hamun Dr. Mahathir kerana saya memang ada mendengar cakap-cakap mengenai perangai Anwar, sejak dia dibangku sekolah. Disebabkan ia sudah menjadi ‘rahsia terbuka’, maka bohonglah saya kalau saya mengatakan ia sebagai rahsia lagi kerana saya yakin semua penduduk di sini juga tahu seperti apa yang saya tahu.
“Walaupun saya tahu melalui cakap-cakap orang mengenai perangai Anwar, hati saya tetap tidak bersetuju dengan cara dan tindakan yang diambil ke atasnya.
“Malahan, apabila Wan Azizah bertanding di sini dalam Pilihan Raya Umum tahun 1999, saya mengundinya kerana saya cukup benci dengan tindakan kerajaan terhadap Anwar, anak Permatang Pauh dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, dihina sebegitu rupa.” cerita Tuan Haji lagi.
Menurutnya Wan Azizah seorang ibu yang baik dan isteri yang sabar. Betullah seperti kata MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim baru-baru ini, Anwar dianugerahkan Allah seorang isteri yang sabar dan ibu yang baik buat anak-anaknya yang sedang membesar.
“Selama tiga kali (penggal) orang Permatang Pauh mengundi Wan Azizah bukan kerana Anwar Ibrahim lagi tetapi kerana ‘menghargai pengorbanan Wan Azizah’ kepada anak-anaknya dan suaminya. Walau siapa suaminya, memang dia patut mempertahankan suaminya. Walau sejuta orang mengatakan suaminya salah, biarlah dia seorang yang mengatakan suaminya betul.
“Pada saya Wan Azizah sudah menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu,” kopi O gelas pertama sudah habis dan pesanan gelas kedua sudah dibua ketika itu. Saya sudah habiskan setengah pinggan nasi lemak dengan telur goreng dan dua potong timun yang rangup bila dipepah.
“Cukuplah!” Tuan Haji diam seketika dan merenung dalam-dalam mata saya yang juga merenung secara mendalam matanya. Saya ternampak ada linangan air di kelopak matanya. Cuma, ia belum menitis.
“Saya kata cukuplah kerana saya tidak mahu lagi mengundi Keadilan (PKR) kali ini, kerana cukuplah ‘bakti’ saya kepada seorang insan bernama Anwar yang mempunyai isteri yang sabar dan ibu yang baik buat anak-anaknya kerana Anwar hari ini saya lihat tidak lagi sama seperti Anwar yang saya undi sejak 1982, 1986, 1990 dan 1995.
Anwar hari ini, adalah seorang pejuang kesamarataan, menempelak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan sanggup untuk mengadaikan maruah bangsa Melayu hanya kerana dia mahu menjadi Perdana Menteri, bagi melupakan (sebenarnya mahu mengelak) dari dakwaan dan mungkin hukuman jenayah liwat ke atas dirinya.
“Saya yakin, Anwar akan dapat undi kurang dari undi yang Wan Azizah dapat dan tidak mustahil dia kalah di sini kerana pengundi di sini sudah bersedia ‘melabuhkan tirai’ sokongan kepada Anwar kerana dia bukan Anwar dulu,” Tuan Haji mengelap matanya dengan hujung lengan baju T, Pagodanya yang sudah agak lusuh.
Ketika saya membayar harga minuman dan makanan di situ, Tuan Haji berbisik kepada saya, “dengan syarat Umno dan BN di sini tidak mengada-ngada dengan member tekanan kepada Pak Lah dalam menentukan siapa yang perlu dicalonkan menentang Anwar,”
“Terima sahaja kerana calon itu bukan kita sokongan peribadinya tetapi parti yang didokongnya. Anwar menjadi Timbalan Menteri, Menteri dan Timbalan Perdana Menteri bukan kerana dia hebat tetapi kerana dia duduk dalam Umno. Umno yang meletakkan dia di kerusi-kerusi Timbalan Menteri hingga ke kerusi Timbalan Perdana Menteri.
“Kalau dia masuk Pas atau DAP, paling tinggi jawatannya, Ahli Parlimen biasa….” Tuan Haji mengakhiri cakap-cakapnya dan sambil ketawa dia berkata,”kalau melalui PKR, dia hanya boleh mengetuai demonsrasi jalanan sahajalah.”
Perpisahan antara saya dengan Tuan Haji pagi itu menimbulkan satu perasaan yang cukup berbeza dengan perasaan sebelum saya menjejakkan kaki ke Permatang Pauh, minggu sebelumnya. Pada anggapan saya, nama Anwar sama seperti nama Saddam Hussein di Iraq sebaliknya, ia tidak berlaku begitu.
Umnolah yang melonjakkan Anwar dalam hirerki politik Malaysia dan kenapa Anwar menghina Umno dan kepimpinan yang ada hanya kerana dia mahu ‘memadamkan report Mohd Saiful Bukhari Azlan?’ Maknanya, formulanya mudah, menyedarkan pengundi-pengundi siapa Anwar dan Umno selain dari kepimpinan Umno tidak membuat pelbagai desakan mengenai siapa calon yang perlu diletakkan di situ.
Oleh Fuad Rahim
Sumber www.kpmu.net