Friday, August 15, 2008

Perasmian Jentera Pemuda BN Permatang Pauh

Pagi tadi YB Dato' Sri Hishammuddin Tun Hussein telah mempengerusikan mesyuarat Pemuda Barisan Nasional yang dihadiri hampir semua Ketua-ketua Pemuda parti komponen BN. Dalam perjumpaan tersebut, Ketua-ketua Pemuda daripada parti-parti di Sabah dan Sarawak sekali lagi memberi jaminan bahawa impian Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang pada 16 September tidak akan tercapai kerana Ahli-ahli Parlimen dari parti mereka tetap setia kepada kepimpinan dan formula BN. Umum tahu Dato' Seri Anwar telah cuba menawar pelbagai 'gula-gula' kepada wakil-wakil rakyat Sabah dan Sarawak tetapi malangnya bagi beliau, mereka ini komited kepada BN dan tidak boleh dibeli.

Selepas itu kami bersolat Jumaat di Majid Kampong Pelet dan terserempak dengan YB Saifuddin Nasution Ismail dari PKR.

Pada jam 4 petang, Dato' Sri Hishammuddin dan pimpinan Pemuda BN telah melancarkan Jentera Pemuda BN didepan 1,000 ahli di Markas Pemuda BN. Dalam ucapannya, Dato' Sri Hishammuddin membangkitkan keadaan Dato' Seri Anwar yang semakin terdesak apabila Presiden PAS, YB Dato' Seri Abdul Hadi Awang, membuat kenyataan pagi tadi yang seolah-olah tidak mengiktiraf Dato' Seri Anwar sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Rakyat.

Jentera juga diingatkan untuk berkumpul awal pagi esok di Sekolah Kebangsaan Mengkuang sebelum berarak ke pusat penamaan calon, Institut Perguruan Tuanku Bainun.

Sumber www.rembau.net.my